Wednesday 4 June 2014

Istimewa Gunung Jerai

Yan merupakan sebuah daerah yang unik dengan persekitarannya yang terlatak diantara laut dan Gunung Jerai.gunung jerai merupakan gunung tertinggi di Kedah.Dikenali sebagai Puncak Negeri Kedah, Gunung Jerai merupakan lokasi pelancongan yang harus dikunjungi ketika bercuti bersama keluarga.Keindahan alam semula jadi dilengkapi pelbagai kemudahan awam, menjanjikan kenangan yang istimewa untuk para pengunjung. Antaranya prasarana yang tersedia adalah masjid, tempat letak kenderaan yang selamat, tandas awam, gerai makanan, gerai cenderamata dan gerai batu.

 

Pengunjung juga boleh mendapat maklumat tentang Gunung Jerai di Pusat Maklumat, bersebelahan dengan Masjid Jerai. Di belakang Pusat Maklumat itu, terdapat sebuah tabika kemas untuk kanak-kanak yang tinggal di kawasan berdekatan. Taman Permainan untuk kanak-kanak juga tersedia dalam kawasan gerai makanan, di kaki Gunung Jerai. Bersebelahan Taman Permainan pula, terdapat Pusat Jualan Florikultur Gunung Jerai. Manakala lokasi Gelanggang Futsal pula adalah di sebelah kanan selepas melawati Pusat Jualan Florikultur.

Dalam perjalanan ke puncak Gunung Jerai, pengunjung boleh menikmati keindahan persekitaran hutan semula jadi dan pemandangan saujana mata memandang Negeri Kedah. Monyet-monyet didapati berkeliaran di atas jalan semasa dalam perjalanan dan pengunjung dinasihatkan agar tidak memberi makanan untuk mengelakkan mereka bertindak agresif. Van Pengangkut disediakan untuk para pengunjung naik ke Puncak Gunung Jerai. Perjalanan ke puncak akan mengambil masa 20-25 minit dengan jarak perjalanan lebih 13 km. Dalam perjalanan, pengunjung boleh singgah di Muzium Perhutanan Sungai Teloi dan kawasan air terjun.

Selain menaiki Van Pengangkut yang disediakan, pengunjung juga boleh ke puncak Gunung Jerai dengan kenderaan sendiri. Tetapi perlu diingatkan, jalan mendaki di sini agak merbahaya. Tidak sama seperti jalan biasa. Kedudukannya yang curam dan sempit, menyukarkan pemandu untuk mengawal kenderaan dengan baik.

Terdapat beberapa kenderaan yang rosak dan terbabas ke dalam curam. Kos untuk membawa keluar kenderaan tersebut mencecah ribuan ringgit dan terpaksa ditanggung oleh pengunjung sendiri kerana Pihak Pengurusan telah memberi amaran, tidak bertanggungjawab bagi pengunjung yang menggunakan kenderaan sendiri untuk menaiki Puncak Gunung Jerai. Van Pengangkut yang disediakan dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang bersesuaian untuk perjalanan ke Puncak Gunung Jerai. Bayaran yang dikenakan pula hanya RM10 untuk seorang penumpang.

Terdapat pusat penginapan di puncak Gunung Jerai bagi para pengunjung yang ingin menginap di situ iaitu The Regency Jerai Hill Resort. Pengunjung boleh menghirup udara yang nyaman dan dingin di sini sambil merehatkan minda lantas berupaya melupakan kesibukan kerja dan menghilangkan stress. Pemandangan sawah padi terbentang luas dilihat menghijau pada siang hari manakala lampu-lampu kenderaan, lampu-lampu hiasan dan bangunan-bangunan di Bandaraya Alor Setar pula menghiasi pemandangan pada waktu malam.

Pihak Pengurusan Gunung Jerai juga menawarkan aktiviti merentasi hutan bagi pencinta alam semulajadi. Terdapat pelbagai spesies tumbuhan tropika di kawasan hutan Dipterokarp Bukit dan hutan Dipterokarp Atas. Pokok-pokok hujan tropika dan landskap bunga-bungaan yang hidup subur mewarnai panorama hutan Gunung Jerai. Menariknya, bunga-bungaan di sini mengembang dengan saiz lebih besar daripada spesis sama yang tumbuh di tempat lain.

Gunung Jerai Resort pula terletak di tingkat tertinggi Gunung Jerai. Dengan berjalan kaki beberapa meter ke bawah, pengunjung boleh melawat Tapak Warisan, Makam Syeikh Abdullah Yamani, Telaga Tuk Syeikh dan Muzium Perhutanan.